BIODATA PENGARANG

HJ SHA'ARI HJ.OMAR
HJ SHA'ARI HJ.OMAR

Diputerakan di Kota Bharu Kelantan pada tahun 1961. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Dinniah Bechah Mulong , Peringat sehingga darjah enam(pengajian petang). Dalam masa yang sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bechah Keranji sehingga darjah enam (pengajian pagi). Walaupun mendapat tawaran ke asrama penuh dalam tingkatan satu, namun atas permintaan ayahanda Hj. Omar Mat Saman supaya kekal dirumah untuk lebih mendalami ilmu al Quran, maka pengarang memasuki Sekolah Menengah Melor, Kota Bharu sehingga ke tingkatan 3. Mendapat keputusan cemerlang dalam SRP dengan 7 agregat (pelajar terbaik SRP 1976 SMK Melor), pengarang ditawarkan sekali lagi ke sekolah asrama penuh tetapi mengambil keputusan meneruskan pengajian di sekolah lama atas sebab-sebab tertentu.  Tahun 1978 mendapat Gred 1 dalam peperiksaan SPM dan ditawarkan Diploma Ukur Bahan (UTM) dan Diploma Pertanian (UPM).

 

Mula mendaftar sebagai pelajar Diploma Pertanian di Universiti Pertanian Malaysia pada Mei 1979. Pada tahun yang sama memasuki askar wataniah dan menjadi sebahagian kadet sesi pertama ROTU yang ditubuhkan pada tahun 1980. Mewakli Fakulti Pertanian dalam pertandingan debat antara fakulti dan berjaya membawa Fakulti Pertanian menjadi johan debat UPM pada tahun 1979 dan 1980. Dianugerahkan sebagai pendebat terbaik dan mewakili UPM dalam pertandingan depat antara varsiti di mana UPM muncul sebagai juara debat pada tahun 1980. Pada tahun 1982 ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan tahun yang sama juga menamatkan pengajian peringkat diploma.

 

Mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang pertanian dan mendapat Bachelor Sains Pertanian pada tahun 1985. Semasa belajar pernah memegang jawatan penting dalam PIUPM. Bermula dengan Pen. Setiausaha Dakwah pada tahun 1982, diberi kepercayaan sebagai Pen. Ketua Setiausaha PMIUPM pada tahun 1983.  Pada tahun 1984 dan 1985 menjawat jawatan Ketua Setiausaha PMIUPM. Selepas bergraduat, sementara menunggu tawaran kerja , pengarang berhijrah ke Kg. Ayer Hitam , Kedah untuk mendalami ilmu agama di Pondok Hj. Abu Bakar Palestin. Menjadi anak angkat kepada Tuan Guru dan memberi sumbangan mengajar matapelajaran sains SRP di Sekolah Menengah Nurul Islam, Ayer Hitam sebagai guru sementara.

 

Pada akhir tahun 1985 menyertai Sukarelawan Negara (tajaan PBB) dan bernaung di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kemudian berhijrah ke Kementerian Pertanian Malaysia pada penghujung tahun 1986. Bermula 1988 bertugas di RISDA sehinggalah tahun 1992 . November 1992 bertugas di Majlis Perbandaran Kota Bharu sebagai Pegawai Perhubungan Awam dan merupakan salah seorang perancang lanskap MPKB sehingga Julai 1993.

 

Tahun 1993 menyertai profesion perguruan dengan memasuki KPLI dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Maktab Temenggong Ibrahim Johor Bharu. Semasa menjalani KPLI di MPTI, pernah mendaki Gunung Ledang, Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu. Pernah menyertai ekspedisi berkayak dari Johor Bahru ke Mersing dan berkayak di sekitar Pulau Gemia dan Pulau Kapas di perairan Terengganu.

 

Tahun 1994 bertugas di Sekolah Menengah Beris Kubor Besar , Bachok, Kelantan. Di SMK Beris Kubor Besar mengajar Biologi , Sains dan Sains Pertanian bagi tingkatan 4 dan 5. Tahun 2001, sekolah bertukar nama kepada SMK Long Yunus. Selama berkhidmat di SMKLY, pernah menyandang jawatan Setiausaha Disiplin selama 7 tahun, Setiausaha Akademik selama 2 tahun dan Penyelaras ICT sekolah selama 3 tahun. Menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Alam Sekitar di Universiti Putera Malaysia secara sepenuh masa pada tahun 2001.

 

Tamat pengajian sarjana pada tahun 2003 dan kembali ke SMK Long Yunus dan dilantik sebagai Penyelaras ICT. Tahun 2007 bertukar ke Institut Pendidikan Kampus Kota Bharu dan ditempatkan di Jabatan Sains sehingga sekarang. Sekarang bertugas sebagai pensyarah akademik Sains, biologi, biodiversiti  dan Pendidikan Alam Sekitar.  Mulai 6 Januari 2013 dilantik sebagai Ketua Jabatan Sains, IPG Kampus Kota Bharu. Sekarang bercita-cita untuk menyambung pelajaran peringkat phd dalam pengajian Al Qur'an (Insya Allah).

SEMASA BERADA DI INTAN
SEMASA BERADA DI INTAN