08(d) Isi Pelajaran_Interaksi 4.pdf
Adobe Acrobat Document 630.7 KB

ANCAMAN KEPADA BIODIVERSITI

1.1       Sipnosis

 

Aktiviti manusia merujuk kepada aktiviti harian yang melibatkan interaksi dengan alam sekitar untuk mencapai kesejahteraan hidup. Aktiviti manusia seperti pertanian, pembalakan, perikanan dan lain-lain memberi ancaman ke atas biodiversiti seperti kemusnahan habitat, populasi berkurangan, fragmentasi populasi seterusnya kepupusan spesies,  jika tidak diurus dengan baik. Dalam topik ini, anda akan diberi pendedahan tentang ancaman yang dihadapi oleh hidupan liar akibat aktiviti manusia seperti pemburuan haram dan penyeludupan haram hidupan liar.  

 

 

 

1.2       Hasil pembelajaran

 

            Pada akhir tajuk ini, anda akan dapat:

 

  1. Memahami dan menghuraikan tentang pemburuan haram haiwan liar
  2. Memahami dan menghuraikan tentang penyeludupan haiwan liar

.

 

1.3       Pemburuan Haram Haiwan Liar

 

Pemburuan haram, membunuh atau menangkap hidupan liar boleh berlaku dalam pelbagai cara. Pemburuan haram merujuk kepada kegagalan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang, dalam mendapatkan hidupan liar . Contohnya pemburuan tanpa lesen atau permit, menggunakan senjata atau perangkap yang dilarang, memburu di luar masa yang ditetapkan dan jantina serta peringkat umur yang tidak dibenarkan. Pemburuan haram juga merujuk kepada pengambilan haiwan dari tempat perlindungan hidupan liar yang diwartakan, seperti taman negara atau zoo. Kebanyakan negara menguatkuasakan sekatan memburu hidupan liar seperti larangan memburu dan memperdagangkan hidupan liar. Produk haiwan, seperti kulit, gading, tanduk, gigi dan tulang, digunakan untuk membuat pakaian, barang kemas dan bahan-bahan hiasan yang lain. Bagi sesetengah masyarakat di Afrika dan di Amerika Latin, daging haiwan liar direbus dan dimakan. Di Congo, sebagai contoh, daging monyet liar dijual di pasaran terbuka dan di Amerika Utara , rusa berekor putih diburu untuk makanan.

Statistik terbaru menunjukkan bahawa sejumlah 588 badak sumbu telah diburu semenjak awal tahun ini (2012), dengan jumlah tangkapan 246 individu terdiri daripada 217 pemburu haram, 18 pembawa dan 11 orang penerima.. Taman Negara Kruger telah kehilangan 362 badak sumbu akibat pemburuan haram. Di wilayah KwaZulu-Natal Limpopo adalah wilayah paling teruk akibat pemburuan haram, dimana secara kolektif 186 badak sumbu dibunuh. Daripada berpuluh-puluh spesies badak , kini hanya tinggal 5 spesis sahaja yang masih wujud.Jika dahulu lebih 100,000 badak sumbu hitam di Afrika, kini terdapat hanya 2707 di keseluruhan benua tersebut. Ini disebabkan harga tanduk badak bernilai sehingga AS $ 40,000 sekilogram - lebih daripada 5 kali harga emas.

Pada tahun 2009, 36.000 gajah telah dibunuh kerana gading mereka dan kebanyakannya dijual kepada pelancong sebagai cenderamata. Pada tahun 1930 terdapat 5 -10 juta gajah di Afrika . Kurang daripada 1% daripada jumlah itu (kira-kira 600,000) kekal apabila mereka telah di senaraikan sebagai spesies yang paling terancam pada tahun 1989.Permintaan untuk gading dan kehilangan habitat daripada aktiviti manusia membawa kepada kejatuhan besar dalam populasi ini. Adalah dianggarkan bahawa kira-kira 20,000 - 25,000 gajah dibunuh setiap tahun untuk gading mereka.Pada tahun 2004, terdapat sekitar 4,000 ekor gajah di Zakouma National Park (Tchad), hari ini jumlah mereka kurang daripada 1000ekor. Begitu juga, di Republik Afrika Tengah dianggarkan kehilangan sekitar 500 ekor gajah setahun akibat dari pemburuan haram.

1.4       Penyeludupan Haiwan Liar

.

Penyeludupan Haiwan Liar melibatkan pengumpulan, pengangkutan dan pengedaran haiwan liar dari satu negara ke negara lain. Ini boleh dilakukan sama ada di peringkat antarabangsa atau domestik. Tiada siapa yang tahu saiz sebenar perdagangan produk haiwan liar tetapi adalah dipercayai bahawa urus niaga ini menjana pendapatan sehingga 10-20 billion dolar USA setahun. Ini bermakna bahawa penyeludupan haiwan liar adalah hampir nilainya dengan perdagangan dadah . Keuntungan ekonomi adalah sebab utama berkembangnya perdagangan haram dan penyeludupan haiwan liar ini.. Selagi ada permintaan yang berterusan bagi haiwan dan bahagian-bahagian haiwan maka selagi itulah penyeludupan hidupan liar ini berlaku. Permintaan untuk produk hidupan liar dan haiwan eksotik seperti makanan, perubatan tradisional, pakaian dan barang perhiasan yang diperbuat daripada gading, sirip, kulit, tanduk dan organ-organ dalaman haiwan semakin meningkat di seluruh dunia dimana permintaan tertinggi datangnya dari Amerika Syarikat, Republik Rakyat China dan Kesatuan Eropah. Di Asia permintaan kepada bahagian-bahagian badan haiwan dan organ-organ tertentu, yang digunakan dalam amalan perubatan tradisional meningkatkan lagi usaha penyeludupan ini dilakukan. Di Afrika permintaan utama bagi hidupan liar ini datangnya dari penggunaan "bushmeat". Peningkatan dalam permintaan di Asia Tenggara pula adalah disebabkan oleh ledakan ekonomi di rantau ini. Di benua lain seperti Eropah dan Amerika Utara, permintaan bagi penyeludupan hidupan liar adalah kerana untuk mewujudkan barangan fesyen mewah, cenderamata kepada pelancong dan haiwan peliharaan eksotik.

 

Menurut laporan oleh WWF (2012), perdagangan hidupan liar secara haram adalah dianggarkan bernilai $ 19 Bilion setahun. Seorang pegawai polis dari Jabatan Polis Los Angeles menyatakan bahawa vendor haram yang menjual arnab dalam Daerah Fesyen beroleh pendapatan sehingga USD 300 hingga USD 400 sehari dan pada hujung minggu boleh mencapai sehingga USD 1,000 .Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan Ireland menganggarkan bahawa puluhan ribu anjing diperdagangkan dari Ireland ke United Kingdom setahun. Sehingga 30,000 anjing diseludup dari Thailand menyeberangi sempadan untuk dijual di pasaran gelap di Vietnam. Anjing-anjing yang dijual bernilai antara USD 26 hingga USD 32 (800 hingga 1,000 Baht Thai) seekor.

Pada tahun 2002, harga gading gajah di pasaran gelap ialah USD 150 sekilogram. Tetapi menjelang tahun 2004, harga meningkat dua kali ganda kepada USD 300 setiap kilogram. Akhir-akhir ini mengikut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar.harga gading telah meningkat kepada USD 700 sekilogram di China .Pada tahun 2011, harga gading telah dilaporkan meningkat kepada USD 270 per paun dan menjelang Oktober 2012, harga gading di pasaran gelap adalah $ 900 per paun.. Dalam tempoh 2009 sehingga 2011, sebanyak 29,000 kilogram gading mentah telah dirampas dan disita di China.

Pengenalan spesies penakluk/ invasif

Banyak spesies yang berguna telah dibawa dari habitat lain dan diperkenalkan kepada habitat baru. Spesies ini dinamakan sebagai spesies invasif. Spesies invasif diperkenalkan kerana beberapa tujuan seperti sumber makanan alternatif, ubat-ubatan, sumber ekonomi dan lain-lain faedah. Namun begitu pengenalan spesies invasif di sesuatu habitat telah menyumbang kepada pelenyapan spesies semulajadi di habitat tersebut.

 

 

 

 

Bahan Rujukan

1. Primack, R.B. (1995), A Primer of Conservation Biology

. Sinauer Associates Inc. Chapter 2 Threats to Biological Diversity.

 

2. Moulton, M.P. and Sanderson, J. ( 1999) , Wildlife Issues in a Changing World. 2nd

edition. Lewis Publishers. pages 88-90; 96. and pages 235-243.

 

3. Primack, R.B. (1993) Essentials of Conservation Biology

. Sinauer Associates Inc. Chapter 7 Exotic species, introductions, disease and overexploitation.